April lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan peningkatan ketara kes penyakit HFMD atau penyakit tangan kaki dan mulut di seluruh negara.
Dalam tempoh 1 Januari hingga 5 April tahun ini, Selangor merekodkan jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut tertinggi, iaitu sebanyak 16,794 kes.
Menurut kenyataan KKM, Johor dan Perak turut menunjukkan peningkatan ketara dalam bilangan jangkitan penyakit berjangkit berkenaan.
Terkini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon turut memaklumkan kes HFMD di negeri tersebut meningkat sehingga 20.5 peratus pada minggu epidemiologi ke-17 (1,441 kes) berbanding minggu sebelumnya (1,196 kes).
Kenyataan ini sudah tentu menerbitkan rasa gusar dalam hati para ibu bapa yang khuatir akan kesihatan dan keselamatan anak-anak mereka ketika di luar.
Justeru, artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan penyakit HFMD, punca, tanda HFMD dan cara merawat HFMD dengan cepat.
Ketahui juga tips pencegahan yang sesuai untuk dilakukan.
Baca juga:
- Monkeypox: Simptom & Risiko Jangkitan Mpox Di Malaysia
- Cuti Kuarantin HFMD: Syarat Kelayakan, Tempoh & Prosedur Permohonan
- Influenza : Jenis, Punca, Simptom & Cara Untuk Merawat
Apa Itu HFMD?

HFMD atau juga dikenali sebagai Penyakit Tangan Kaki dan Mulut atau hand foot and mouth disease adalah sejenis penyakit berjangkit yang menyerang bayi dan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun.
Penyakit ini biasanya tidak serius, tetapi sangat cepat menular. Ia boleh merebak dengan cepat di sekolah dan pusat jagaan harian.

Punca Penyakit HFMD
Penyakit HFMD boleh berjangkit dengan sangat mudah, khususnya sentuhan langsung melalui tangan atau permukaan yang dicemari virus Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71).
Selain itu, ia juga boleh merebak melalui air liur, sentuhan cecair lepuh (blister) dan najis dari mereka yang berpenyakit.

Tanda dan Simptom HFMD
Penyakit Tangan Kaki dan Mulut boleh menyebabkan semua gejala berikut, dan kadangkala hanya sebahagian simptom sahaja yang kelihatan.
Antara simptom HFMD yang dimaksudkan adalah seperti:
- Demam
- Sakit tekak
- Berasa sakit
- Luka yang menyakitkan seperti lepuh pada lidah, gusi dan bahagian dalam pipi
- Ruam pada tapak tangan, tapak kaki, dan kadang-kadang punggung. Ruam tidak gatal, tetapi kadang-kadang lepuh. Bergantung pada warna kulit, ruam mungkin kelihatan merah, putih, kelabu, atau hanya kelihatan sebagai benjolan kecil.
- Hilang selera makan
- Bayi mudah menangis dan meragam
- Keletihan
- Muntah
- Susah bernafas atau jantung berdebar dengan kuat

Penyakit HFMD Berjangkit pada Orang Dewasa?
Mungkin ramai daripada kita yang menganggap penyakit HFMD hanya akan menyasarkan golongan kanak-kanak atau bayi sahaja.
Namun sebenarnya orang dewasa boleh sahaja mendapat jangkitan daripada kanak-kanak HFMD.
Orang dewasa pada lazimnya akan mengalami gejala yang lebih ringan berbanding kanak-kanak.
Kebanyakan orang dewasa yang mendapat penyakit ini mempunyai kontak rapat dengan kanak-kanak seperti pekerja pusat jagaan kanak-kanak, rumah pengasuh, tadika, guru sekolah, dan sebagainya.


Langkah Pencegahan & Cara Merawat HFMD dengan Cepat

Terdapat beberapa cara untuk mencegah Penyakit Tangan Kaki dan Mulut ini daripada merebak.
Semuanya adalah bermula dari diri sendiri dan di rumah.
1. Elak bawa ke tempat awam
Pertama sekali, ibu bapa mestilah tidak membawa anak kecil ke tempat yang berisiko penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam, pusat beli belah atau taman tema.

2. Jaga kebersihan diri
Kemudian, amalkan kebersihan diri dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih setiap kali selepas keluar dari tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh atau merawat lepuh dan mencuci najis kanak-kanak tersebut.
Pastikan mandi sekurang-kurangnya 2 kali sehari dengan menggunakan pakaian dan tuala yang bersih.
Sekiranya bersin atau batuk, gunakan penutup mulut dan hidung (face mask) ketika berada di tempat-tempat awam atau ramai orang.
3. Cuci tangan dengan betul
Bantu anak-anak anda mencuci tangan. Ajar mereka cara mencuci tangan yang betul dan pastikan mereka kerap mencuci tangan.
Berikut adalah cara mencuci tangan yang betul mengikut turutan:
- Basahkan tangan, letak sabun dan ratakan
- Gosok tapak tangan
- Gosok setiap jari dan celah jari
- Gosok kuku di tapak tangan
- Gosok belakang tangan
- Gosok pergelangan tangan
- Bilas tangan dengan air bersih dan keringkan dengan tuala dan tisu yang bersih

4. Elak menyentuh mata, hidung dan mulut
Elak daripada menyentuh bahagian mata, hidung dan mulut anda kerana virus HFMD boleh berjangkit dengan sentuhan.
5. Elak berhubung rapat dengan pesakit HFMD
Elakkan daripada menyentuh seseorang yang menghidap HFMD, seperti memeluk atau mencium mereka.
6. Bersih dan nyah kuman
Bersihkan dan nyah kuman permukaan yang kerap disentuh dan barang yang dikongsi, seperti mainan dan tombol pintu. Caranya adalah seperti berikut:
- Rendam alat mainan dan alatan makan minum dalam larutan selama 5 minit. Bilas dengan air bersih dan keringkan
- Mop dan lap juga permukaan tercemar seperti (lantai, ruang main, tandas, tombol pintu tandas, singki dan kepala paip, serta permukaan meja)


Bila Perlu Jumpa Doktor?
Anda perlu SEGERA membawa anak berjumpa dengan doktor sekiranya mereka menunjukkan tindak balas seperti berikut:
- Anak kurang minum air atau tidak boleh minum air dengan normal dan anda bimbang mereka akan mengalami dehidrasi.
- Anak demam berlarutan sehingga melebihi 3 hari.
- Anak mempunyai sistem imun atau kekebalan yang lemah untuk melawan kuman dan virus penyakit.
- Anak masih kecil di bawah usia 6 tahun.
Soalan Lazim Berkaitan Penyakit HFMD
Berikut antara beberapa soalan yang biasa ditanya berkaitan penyakit tangan kaki dan mulut:
1. Apa yang menyebabkan HFMD?
- HFMD (Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut) disebabkan oleh virus dari kumpulan coxsackie enterovirus, terutamanya coxsackie virus A16. Virus ini menyebabkan lepuh muncul pada tangan, kaki, mulut, dan juga di kawasan lampin.
2. Biasanya, berapa lama seseorang dijangkiti HFMD sebelum sembuh?
- HFMD biasanya berlangsung selama 7 hingga 10 hari. Walaupun lepuh pada kulit telah sembuh, virus ini boleh terus berada dalam najis selama beberapa minggu.
- Oleh itu, kebersihan sangat penting untuk mengelakkan penularan kepada orang lain, walaupun anak kelihatan sudah sihat.
3. Apakah tanda HFMD pada anak?
Simptom utama HFMD termasuk:
- Luka kecil seperti lepuh pada mulut, tepi lidah, tapak tangan, jari, tapak kaki, dan kawasan lampin
- Demam
- Sakit tekak
Kanak-kanak yang dijangkiti sering kelihatan:
- Hilang selera makan
- Meragam
- Letih
Nota: Jika anak mengalami sakit kepala teruk, demam berpanjangan, atau gejala yang membimbangkan, segera berjumpa doktor.
4. Apakah rawatan untuk HFMD?
Tiada rawatan khusus untuk HFMD. Rawatan di rumah biasanya mencukupi untuk mengurangkan gejala:
- Berikan paracetamol (bukan aspirin) untuk mengurangkan demam.
- Galakkan anak minum banyak air, tetapi elakkan minuman berasid seperti jus oren, kerana ia boleh menyebabkan kesakitan akibat ulser di mulut.
- Biarkan lepuh kering secara semula jadi; jangan cuba memecahkannya kerana cecair dari lepuh boleh menjangkiti bahagian lain pada badan.
5. Apakah tip untuk ibu bapa menangani anak yang dijangkiti HFMD?
Untuk memastikan anak selesa sepanjang pemulihan, berikut rawatan hfmd di rumah:
- Berikan paracetamol atau ibuprofen untuk menurunkan demam.
- Gunakan semburan mulut untuk membasmi kuman dan mengurangkan ulser.
- Sediakan makanan sejuk dan lembut seperti yogurt, jeli, atau smoothie untuk melegakan sakit tekak.
- Elakkan minuman berasid dan soda yang boleh merengsakan tekak.
6. Apakah langkah-langkah pencegahan penyakit HFMD?
Untuk mengurangkan risiko jangkitan:
- Sentiasa basuh tangan dengan sabun selepas menyentuh pesakit HFMD.
- Bersihkan pakaian atau mainan yang terkena virus dengan teliti.
- Tutup mulut dengan lengan ketika bersin.
- Elakkan berkongsi peralatan makanan dan minuman.
- Jangan berkongsi barang peribadi seperti tuala, sabun, berus gigi, atau pakaian.
- Pastikan anak yang dijangkiti tidak hadir ke sekolah atau taska sehingga sembuh. Ambil tahu tanda HFMD sudah sembuh. Maklumkan keadaan kepada pihak sekolah atau taska.
7. Siapa yang biasanya dijangkiti penyakit HFMD?
- HFMD biasanya menyerang kanak-kanak di bawah umur 10 tahun. Namun, kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa juga boleh dijangkiti.
8. Bagaimana jangkitan ini menular?
HFMD menular melalui:
- Sentuhan langsung dengan cecair dari lepuh, hidung, air liur, kahak, hingus, atau najis.
- Titisan dari batuk atau bersin.
Nota: Lepuh yang belum kering masih boleh berjangkit. Jangan pecahkan lepuh, kerana cecair di dalamnya boleh menjangkiti orang lain.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan penyakit HFMD dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD). Kementerian Kesihatan Malaysia
- Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD). Centers for Disease Control and Prevention
- Kes Jangkitan HFMD Lepasi Paras Amaran Nasional. Berita Harian