Apakah jenis penyakit jantung yang lazim berlaku pada manusia yang perlu anda tahu sebagai langkah berjaga-jaga?
Penyakit jantung bukan lagi ancaman kesihatan yang hanya membabitkan warga emas. Di Malaysia, statistik menunjukkan satu realiti yang membimbangkan di mana penyakit berkaitan jantung kini menjadi punca kematian utama sejak tahun 1999, dan jumlah kes terus meningkat saban tahun.
Antara penyumbang utama kepada kematian ini ialah penyakit jantung iskemik dan infarksi miokardium akut (serangan jantung). Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 17.9 juta nyawa terkorban setiap tahun di seluruh dunia akibat penyakit jantung, dan angka ini dijangka meningkat kepada 23.6 juta menjelang tahun 2030.
Di Malaysia pula, data daripada Pangkalan Data Kardiovaskular Kebangsaan (NCVD) mendedahkan bahawa purata umur pesakit serangan jantung ialah sekitar 57 tahun, lebih muda berbanding negara maju. Lebih membimbangkan, sekitar 24% pesakit adalah berumur bawah 50 tahun, dengan peningkatan kes dalam kalangan individu berusia seawal 30-an dan 40-an.
Melihat kepada trend ini, kami akan menghuraikan tentang 7 jenis penyakit jantung paling penting yang rakyat Malaysia perlu tahu, lengkap dengan simptom dan rawatan bagi setiap satunya.
Baca juga: Palpitasi : Punca & Cara Hilangkan Degupan Jantung Laju
Apa itu Penyakit Jantung?

Penyakit jantung merujuk kepada sekumpulan masalah kesihatan yang melibatkan jantung dan salur darah. Ia bukan sekadar satu penyakit khusus, tetapi merupakan istilah umum yang merangkumi pelbagai jenis gangguan pada fungsi jantung.
Dalam istilah perubatan, penyakit jantung dalam kumpulan penyakit kardiovaskular adalah penyakit yang melibatkan jantung (cardio) dan saluran darah (vascular).
Penyakit jantung lazimnya berlaku apabila saluran darah utama yang membawa darah ke jantung sempit atau tersumbat, biasanya akibat penimbunan plak kolesterol. Ini boleh mengurangkan bekalan oksigen ke jantung dan menyebabkan sakit dada (angina), sesak nafas, atau dalam kes yang lebih serius, serangan jantung.

Punca Sakit Jantung
Punca sakit jantung berbeza-beza bergantung kepada jenis penyakit jantung yang dialami. Walau bagaimanapun, secara umumnya terdapat beberapa faktor utama yang boleh menyebabkan berlakunya masalah pada jantung.
Penyakit ini tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi sering kali berpunca daripada gabungan gaya hidup, keturunan, jangkitan, ubat-ubatan tertentu dan penyakit lain yang sedia ada dalam tubuh seseorang.
Simptom & Gejala
Berikut ialah simptom dan gejala penyakit jantung:
- Sakit dada atau rasa tekanan di dada (angina)
- Sesak nafas, terutama ketika aktiviti fizikal
- Cepat letih walaupun buat kerja ringan
- Degupan jantung tidak teratur (berdebar-debar)
- Bengkak pada kaki, buku lali atau pergelangan kaki
- Pening atau hampir pitam
- Letih berpanjangan tanpa sebab jelas
- Rasa loya atau sakit perut (terutama bagi wanita)
- Peluh sejuk secara tiba-tiba
- Sakit di leher, rahang, bahu atau belakang badan

Individu yang Berisiko Tinggi
Tidak semua orang mempunyai risiko yang sama untuk menghidap penyakit jantung. Sesetengah individu mempunyai faktor risiko yang lebih tinggi, sama ada kerana faktor yang boleh diubah (seperti gaya hidup), atau faktor yang tidak dapat dikawal (seperti umur dan keturunan).
Memahami siapa yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi amat penting untuk langkah pencegahan awal. Berikut ialah kategori individu yang berisiko tinggi:
1. Umur yang Meningkat
Risiko penyakit jantung meningkat seiring pertambahan usia. Umumnya, lelaki berumur 45 tahun ke atas dan wanita berumur 55 tahun ke atas lebih mudah terkena serangan jantung.
2. Jantina
Jantina juga memainkan peranan. Lelaki cenderung mendapat penyakit jantung lebih awal berbanding wanita. Namun, selepas menopaus, risiko wanita meningkat dan boleh menyamai lelaki.
3. Sejarah Keluarga & Genetik
Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit jantung awal (sebelum umur 55 bagi lelaki dan 65 bagi wanita) berada dalam kumpulan berisiko tinggi. Kajian juga menunjukkan sesetengah gen boleh meningkatkan kecenderungan terhadap penyakit jantung tertentu.
4. Keturunan dan Etnik
Di Amerika Syarikat, penyakit jantung merupakan punca utama kematian bagi hampir semua kumpulan etnik. Namun, risiko paling tinggi dilaporkan dalam kalangan:
- Kaum asli Amerika dan Alaska
- Kaum kulit hitam
- Orang kulit putih
Walaupun statistik di Malaysia berbeza, namun etnik yang mempunyai kadar kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi atau masalah obesiti lebih cenderung terkena penyakit jantung.
5. Gaya Hidup Tidak Sihat
Tabiat harian yang tidak sihat boleh meningkatkan risiko penyakit jantung secara perlahan:
- Makan makanan tinggi lemak tepu, karbohidrat terproses, dan garam
- Kurang bergerak atau tidak aktif secara fizikal
- Pengambilan alkohol berlebihan
- Merokok atau terdedah kepada asap rokok
- Tekanan dan stres yang tidak dikawal dengan baik
Baca juga: 12 Susu Tepung Dewasa Untuk Tulang Kuat & Jantung Sihat
6. Menghidap Penyakit Kronik
Beberapa keadaan kesihatan yang sedia ada boleh meningkatkan risiko sakit jantung:
- Tekanan darah tinggi (hipertensi)
- Paras kolesterol yang tinggi
- Kencing manis (diabetes)
- Obesiti atau berat badan berlebihan
- Penyakit autoimun atau keradangan kronik
- Penyakit buah pinggang kronik
- Sindrom metabolik (gabungan tekanan darah tinggi, gula tinggi dan kolesterol tinggi)
Jenis Penyakit Jantung
Terdapat pelbagai jenis penyakit jantung yang mempengaruhi struktur dan fungsi jantung. Setiap jenis mempunyai ciri, gejala dan rawatan yang berbeza, namun semuanya berkait rapat dengan gangguan terhadap keupayaan jantung untuk mengepam darah secara efisien.
Berikut ialah huraian tentang jenis penyakit jantung yang perlu anda diketahui:
1. Penyakit Arteri Koronari (Coronary Artery Disease – CAD)

Penyakit arteri koronari berlaku apabila saluran darah utama yang membekalkan darah ke otot jantung menjadi sempit atau tersumbat disebabkan pembentukan plak (gabungan kolesterol, lemak dan bahan buangan).
Keadaan ini dikenali sebagai aterosklerosis. Akibatnya, aliran darah ke jantung terhad dan boleh mencetuskan masalah serius seperti angina atau serangan jantung.
Simptom & Gejala:
- Sakit dada (angina), rasa seperti ditekan atau terbakar
- Sesak nafas terutama ketika bersenam
- Keletihan
- Serangan jantung secara tiba-tiba (sakit dada teruk, berpeluh, loya)
Rawatan:
- Ubat-ubatan: Statin (turunkan kolesterol), aspirin (kurang risiko bekuan darah), beta-blocker (kurangkan beban kerja jantung)
- Prosedur: Angioplasti atau pembedahan pintasan koronari (CABG)
- Gaya hidup: Kawal diet, bersenam, berhenti merokok, kawal tekanan darah dan diabetes
2. Penyakit Vaskular (Vascular Disease)

Penyakit vaskular merujuk kepada masalah pada salur darah, arteri atau vena, di mana-mana bahagian tubuh. Ia juga boleh berlaku akibat aterosklerosis.
Contohnya, dalam Peripheral Artery Disease (PAD), salur darah ke kaki menjadi sempit sehingga menyebabkan aliran darah terhalang.
Simptom & Gejala:
- Sakit atau kekejangan pada kaki ketika berjalan (claudication)
- Rasa sejuk di kaki atau tangan
- Luka lambat sembuh di kaki
- Kaki menjadi pucat atau kebas
Rawatan:
- Ubat-ubatan: Ubat cair darah (antiplatelet), statin
- Prosedur: Angioplasti pada salur darah sempit, pembedahan bypass
- Gaya hidup: Senaman kaki, diet rendah lemak, berhenti merokok
3. Gangguan Irama Jantung (Arrhythmia)

Arrhythmia berlaku apabila impuls elektrik yang mengawal degupan jantung menjadi terganggu, menyebabkan jantung berdegup terlalu laju, terlalu perlahan atau tidak teratur. Ia boleh berpunca daripada kerosakan tisu jantung, ketidakseimbangan elektrolit, atau faktor genetik.
Simptom & Gejala:
- Rasa berdebar-debar atau jantung “melompat”
- Degupan tidak teratur
- Pening, hampir pengsan
- Sesak nafas, keletihan
Rawatan:
- Ubat-ubatan: Antiarrhythmic drugs, beta-blocker
- Prosedur: Ablasi jantung (menghapuskan laluan elektrik abnormal), implan pacemaker
- Gaya hidup: Elakkan kafein berlebihan, pengurusan stres
4. Penyakit Jantung Kongenital (Congenital Heart Disease – CHD)
CHD adalah kecacatan struktur jantung yang berlaku semasa janin dalam kandungan. Ia boleh melibatkan injap jantung, dinding jantung, atau salur darah utama. Sesetengah kes ringan tidak menimbulkan masalah, manakala kes berat mungkin memerlukan pembedahan sejak kecil.
Simptom & Gejala:
- Pernafasan laju atau sukar
- Bibir atau kulit kebiruan (cyanosis)
- Kegagalan tumbesaran bayi
- Keletihan mudah
- Bunyi jantung luar biasa (heart murmur)
Rawatan:
- Pembedahan jantung terbuka atau prosedur kateter: Untuk membaiki kecacatan struktur
- Pemantauan berkala: Oleh pakar kardiologi pediatrik dan dewasa
- Sokongan berterusan: Sepanjang hayat termasuk kawalan aktiviti dan pemakanan
5. Kegagalan Jantung (Heart Failure)
Kegagalan jantung berlaku apabila jantung tidak mampu mengepam darah dengan cukup untuk memenuhi keperluan tubuh. Ia boleh disebabkan oleh kelemahan otot jantung atau kekakuan otot yang menyebabkan darah tidak mengalir dengan lancar.
Penyebab utama ialah tekanan darah tinggi kronik dan kerosakan akibat serangan jantung.
Simptom & Gejala:
- Sesak nafas, terutama ketika baring
- Bengkak di kaki, pergelangan kaki dan perut
- Keletihan berpanjangan
- Batuk atau mengi, terutamanya waktu malam
- Penambahan berat badan cepat akibat penahanan cecair
Rawatan:
- Ubat-ubatan: Diuretik (buang cecair berlebihan), ACE inhibitors, beta-blockers, digoxin
- Rawatan lanjutan: Implan defibrillator (ICD), transplantasi jantung (dalam kes kritikal)
- Pengurusan gaya hidup: Kurangkan garam, berat badan ideal, senaman ringan secara berkala
6. Penyakit Injap Jantung (Heart Valve Disease)
Penyakit injap jantung berlaku apabila salah satu daripada empat injap jantung iaitu mitral, aorta, trikuspid, atau pulmonari yang tidak berfungsi dengan baik.
Injap-injap ini berperanan memastikan aliran darah satu hala antara ruang-ruang jantung dan salur darah utama. Masalah boleh berlaku apabila injap:
- Mengeras atau menyempit (stenosis): Injap tidak terbuka sepenuhnya, menghalang aliran darah.
- Menjadi lemah atau bocor (regurgitasi): Injap tidak menutup rapat, menyebabkan darah mengalir semula ke ruang sebelumnya.
Masalah ini boleh berpunca daripada penuaan, jangkitan seperti demam reumatik atau endokarditis, penyakit autoimun, atau kecacatan kongenital. Jika tidak dirawat, penyakit injap jantung boleh menyebabkan kegagalan jantung, aritmia, atau strok.
Simptom & Gejala:
- Sesak nafas semasa aktiviti atau ketika berbaring
- Keletihan atau kelemahan
- Sakit dada
- Pening atau pengsan
- Bengkak pada pergelangan kaki, kaki, atau abdomen
- Degupan jantung tidak teratur atau berdebar-debar
Rawatan:
- Pemantauan berkala: Bagi kes ringan tanpa simptom yang ketara.
- Ubat-ubatan: Untuk mengawal simptom dan mencegah komplikasi. Ini termasuk:
- Diuretik untuk mengurangkan pengekalan cecair
- Ubat tekanan darah seperti ACE inhibitors
- Beta-blockers untuk mengawal kadar degupan jantung
- Antikoagulan untuk mencegah pembekuan darah
- Pembedahan atau prosedur invasif minimum: Jika injap rosak teruk, pilihan termasuk:
- Transcatheter Aortic Valve Implantation (TAVI) untuk pesakit tertentu
- Pembaikan injap
- Penggantian injap dengan injap buatan atau bioprostetik
7. Jangkitan Jantung

Jangkitan jantung berlaku apabila organ jantung atau tisu sekelilingnya dijangkiti bakteria, virus, atau parasit. Jangkitan ini boleh menjejaskan tiga bahagian utama:
- Perikardium: lapisan nipis luar jantung — jangkitan ini dikenali sebagai perikarditis
- Miokardium: otot utama jantung — dikenali sebagai miokarditis
- Endokardium: lapisan dalam jantung termasuk injap — dikenali sebagai endokarditis
Jangkitan jantung boleh berlaku akibat komplikasi daripada jangkitan lain dalam badan, terutamanya jika bakteria masuk ke dalam darah dan menyerang tisu jantung.
Golongan yang berisiko termasuk mereka yang mempunyai sistem imun lemah, pesakit dengan injap jantung buatan, atau sejarah penyakit jantung kongenital.
Simptom & Gejala:
- Perikarditis:
- Sakit dada tajam, terutama bila bernafas dalam
- Demam
- Rasa lemah
- Miokarditis:
- Keletihan melampau
- Degupan jantung tidak teratur
- Sesak nafas
- Sakit dada
- Endokarditis:
- Bunyi jantung abnormal (heart murmur) boleh menjadi petunjuk
- Demam berpanjangan
- Peluh malam
- Sakit sendi atau otot
- Kulit pucat atau bintik-bintik merah pada tangan/kaki (tanda embolisme kecil)
Rawatan:
- Antibiotik intravena (IV): untuk jangkitan bakteria seperti endokarditis — biasanya di hospital untuk beberapa minggu
- Ubat antivirus atau antiparasit: jika berpunca daripada virus atau parasit
- Rawatan sokongan: seperti ubat anti-radang untuk perikarditis ringan
- Pembedahan jantung: mungkin diperlukan jika injap rosak teruk atau terdapat bekuan darah akibat jangkitan
Bila Perlu Jumpa Doktor

Penyakit jantung boleh berkembang secara senyap dan tanpa simptom yang ketara pada peringkat awal. Namun, apabila gejala muncul, ia boleh menjadi tanda amaran bahawa jantung anda memerlukan perhatian perubatan segera.
Memahami bila perlu berjumpa doktor boleh menyelamatkan nyawa dan mencegah komplikasi serius seperti serangan jantung atau kegagalan jantung. Segera berjumpa doktor jika anda mengalami:
- Sakit dada
- Sesak nafas
- Pengsan atau hampir pengsan
Selain itu, buat juga pemeriksaan jika anda mengalami:
- Degupan jantung tidak teratur atau terlalu laju
- Keletihan melampau walaupun buat kerja ringan
- Bengkak pada kaki, pergelangan kaki atau perut
- Berpeluh sejuk tanpa sebab jelas
- Sejarah keluarga dengan penyakit jantung awal
- Kencing manis, darah tinggi atau kolesterol tinggi yang tidak terkawal
Baca juga: Institut Jantung Negara (IJN): Perkhidmatan Ditawarkan & Cara Dapatkan Rawatan
Kesimpulan
Kesimpulannya, terdapat pelbagai jenis penyakit jantung yang perlu anda ambil tahu untuk menilai kesihatan diri. Dengan memahami jenis penyakit jantung ini, anda bukan sahaja dapat mengenal pasti gejala awal, tetapi juga mengambil langkah pencegahan yang berkesan sebelum keadaan menjadi kritikal.
Jangan abaikan tanda-tanda seperti sakit dada, sesak nafas atau keletihan luar biasa. Ini mungkin isyarat penting dari jantung anda. Kesedaran adalah langkah pertama ke arah jantung yang sihat dan kehidupan yang lebih berkualiti.
Rujukan:
- Types of Heart Disease. Heart and Stroke Foundation of Canada
- Heart Disease. Victor Chang Cardiac Research Institute
- The 12 Most Common Heart and Cardiovascular Conditions and What You Can Do About Them. Heart Research Institute