Mandi Wajib Selepas Sahur: Bolehkah Berpuasa & Apa Hukumnya?
Mandi wajib adalah salah satu kewajiban dalam agama dalam Islam yang wajib dilakukan dalam beberapa situasi, seperti setelah berhubungan suami isteri, suci daripada haid, setelah mimpi yang mengakibatkan keluarnya mani dan sebagainya.
Apabila tibanya bulan Ramadan, di mana umat Islam wajib berpuasa bermula daripada masuk waktu subuh sehingga terbenamnya matahari, muncul persoalan seperti: apakah hukum mandi wajib selepas sahur dan bolehkah berpuasa?
Jom baca penjelasan di bawah.
BACA JUGA: 25 Ucapan Salam Ramadan & Selamat Menyambut Bulan Puasa 2024
Mandi Wajib Selepas Sahur Di Bulan Puasa : Penjelasan Dr Zulkifli
Menurut penjelasan yang diterangkan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum mandi wajib selepas terbit fajar pada bulan Ramadan disebabkan persetubuhan pada malam hari atau sebelum waktu fajar tidak membatalkan puasa.
Daripada Aisyah dan Ummu Salamah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
كَانَ يُدْرِكُهُ الفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW pernah mendapati fajar telah terbit dan ketika itu beliau dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudian beliau mandi dan berpuasa.”
Riwayat al-Bukhari (1927) dan Muslim (1106). Hadis ini ialah hadis Muttafaq ‘alaih.

Hukum Wanita Haid Berniat Puasa Sebelum Suci
Perkongsian lain daripada Mufti Wilayah Persekutuan turut menyentuh soal wanita haid yang berniat puasa sebelum suci.
Hal ini tentu dikhuatiri ramai wanita memandangkan agak sukar untuk menentukan tempoh terakhir haid dan hari untuk sambung berpuasa pada bulan Ramadan.
Permasalahan ini telah disebutkan oleh Imam al-Nawawi sebagaimana berikut:
ولو نوت الحائض صوم غد قبل انقطاع دمها ثم انقطع ليلا صح إن تم لها في الليل أكثر الحيض وكذا قدر العادة في الأصح
Maksudnya: “Dan jika wanita haid berniat puasa esok hari sebelum putus darahnya, kemudian darah terputus pada malam hari, maka sah ia(niat puasa) jika sempurna baginya pada malam itu sebanyak-banyak haid. Begitu juga kadar adatnya menurut pandangan yang paling sahih.”
Menurut pandangan al-Baghawi, al-Mutawalli dan sebahagian ulama mazhab Syafi‘i, seseorang wanita yang pertama kali didatangi haid (mubtadaah) wajib menyempurnakan sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam) pada malam hari tersebut.
Begitu juga dengan wanita yang pernah didatangi haid dan suci (mu’tadah), maka dia juga wajib menyempurnakan sebanyak-banyak haid.
Justeru, sah puasa dengan niat tersebut apabila mereka telah menyempurnakan hari-hari haid kerana dihukumkan bahawa keesokan siangnya adalah suci secara yakin.
Syeikh Khatib al-Syirbini turut memperjelaskan berkenaan keadaan wanita yang pernah didatangi haid dan suci (wanita beradat haid).
Situasi pertama, sekiranya wanita beradat haid yang teratur dan kurang daripada 15 hari 15 malam, maka sah puasanya dengan niat tersebut apabila dia telah menyempurnakan hari-hari haid mengikut kiraan adatnya menurut pandangan yang sahih.
Hal ini kerana, secara zahirnya adat itu akan kekal berterusan pada bulan terkini, sama ada haid bulan terkini sama dengan bulan sebelumnya atau tidak sama dengan dengan bulan sebelumnya. Dalam pada masa yang sama, wanita tersebut mengingati kiraan hari-hari haidnya.
Situasi seterusnya adalah wanita yang mempunyai adat haid berubah-ubah sama ada perubahannya itu bersifat konsisten ataupun tidak, serta mereka juga tidak mengingati kiraan hari-hari tersebut. Justeru, tidak sah niat puasanya selagi mana mereka tidak menyempurnakan hari-hari haid mengikut bilangan hari adat yang paling banyak.
Kesimpulannya, seorang wanita yang pernah didatangi haid dan suci serta adatnya pada setiap bulan adalah sama dan teratur boleh berniat puasa pada malam hari sekalipun dirinya belum suci atau darahnya belum berhenti.
Selagi mana dia meyakini bahawa darahnya akan berhenti sebelum masuknya waktu solat subuh.
Situasi Permasalahan Haid dan Nifas di Bulan Ramadan
Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan turut menyimpulkan beberapa situasi yang sering dihadapi oleh wanita haid dan nifas di bulan Ramadan.
Ayuh kita semak panduan bagi permasalahannya bersama-sama.
1)Haram Berpuasa Jika Haid dan Nifas
Ijma’ mengatakan haram berpuasa, sama ada puasa wajib atau sunat bagi perempuan haid dan nifas. Jika keduanya berpuasa, maka puasa itu tidak sah.
𝟮) 𝗛𝗮𝗶𝗱 𝗕𝗲𝗿𝗵𝗲𝗻𝘁𝗶 𝗣𝗮𝗱𝗮 𝗪𝗮𝗸𝘁𝘂 𝗦𝗶𝗮𝗻𝗴 𝗥𝗮𝗺𝗮𝗱𝗵𝗮𝗻
Jika seorang perempuan yang haidnya berhenti di siang hari bulan Ramadhan, dia hendaklah (sunat) Imsak, iaitu tidak makan dan tidak minum seperti orang yang berpuasa.
𝟯) 𝗛𝗮𝗶𝗱 𝗕𝗲𝗿𝗵𝗲𝗻𝘁𝗶 𝗦𝗲𝗯𝗲𝗹𝘂𝗺 Terbit 𝗙𝗮𝗷𝗮𝗿
Perempuan yang telah bersih daripada haid atau nifas sebelum keluar fajar, sunat dia mandi wajib sebelum waktu Subuh. Dia wajib berpuasa pada hari Itu.
𝟰) 𝗕𝗲𝗿𝗻𝗶𝗮𝘁 𝗦𝗲𝗹𝗲𝗽𝗮𝘀 𝗛𝗮𝗶𝗱 𝗕𝗲𝗿𝗵𝗲𝗻𝘁𝗶
Ketika darah haid sudah berhenti, boleh untuk berniat melakukan puasa walaupun belum mandi kerana penghalang (mani’) sahnya berpuasa kerana haid, bukan kerana hadas. la berbeza dengan sembahyang kerana penghalang sahnya adalah hadas.
𝟱) 𝗕𝗲𝗹𝘂𝗺 𝗠𝗮𝗻𝗱𝗶 𝗪𝗮𝗷𝗶𝗯 𝗪𝗮𝗹𝗮𝘂𝗽𝘂𝗻 𝗦𝘂𝗱𝗮𝗵 𝗠𝗮𝘀𝘂𝗸 𝗦𝘂𝗯𝘂𝗵
Sah puasa perempuan sudah suci daripada haid tetapi belum mandi wajib walaupun sudah masuk Subuh. Jika sengaja melewat-lewatkan mandi wajib, hukumnya makruh.
Syarat-syarat Sah Berpuasa
Terdapat enam syarat wajib puasa iaitu:
- Beragama Islam: Ibadah puasa hanya diwajibkan ke atas umat Islam
- Baligh: Umumnya, umur baligh bermula antara umur 9 dan 16 tahun bagi lelaki dan perempuan. Anak kecil yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, namun adalah sangat digalakkan untuk mengajari mereka untuk berpuasa.
- Berakal: Orang yang waras, mampu berfikir dan tidak gila.
- Bermukim: Orang musafir tidak diwajibkan berpuasa. Namun begitu sekiranya mereka memilih untuk tidak berpuasa, maka diwajibkan puasa yang ditinggalkan itu diganti.
- Suci dari haid dan nifas: Wanita dalam keadaan tidak suci kerana haid atau nifas tidak wajib berpuasa. Namun begitu, mereka wajib menggantikan puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
- Kemampuan berpuasa: Islam tidak membebankan umatnya yang uzur, sakit dan tidak mampu untuk berpuasa. Namun begitu, mereka wajib menggantikan puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Perkara Yang Membatalkan Puasa
- Makan dan minum. Batal sama ada sedikit atau banyak.
- Memasukkan sesuatu ke rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka.
- Sengaja muntah.
- Persetubuhan. Sekalipun tidak mengeluarkan air mani.
- Merancap. Yakni mengeluarkan air mani.
- Datang darah haid atau nifas.
- Gila dan murtad.
Kelebihan Berpuasa
- Dengan menahan diri dari perkara-perkara yang dilarang semasa berpuasa, seseorang dapat meningkatkan ketakwaannya dan mendekatkan diri kepada Allah.
- Berpuasa melatih seseorang untuk memiliki disiplin diri. Dengan menahan diri dari makan dan minum selama berjam-jam, seseorang belajar mengawal nafsu dan keinginan yang dapat membantu dalam mengembangkan kawalan diri yang lebih baik dalam kehidupan seharian.
- Puasa mempunyai pelbagai manfaat kesihatan fizikal, seperti membantu menurunkan berat badan, meningkatkan metabolisme, memperbaiki kadar gula darah, meningkatkan fungsi jantung, dan sebagainya.
- Melalui puasa, seseorang dapat belajar mengenai sikap empati terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
- Dengan memberi tumpuan kepada ibadah dan meningkatkan kualiti spiritual, puasa dapat membantu memberikan ketenangan.

Kelebihan-kelebihan ini boleh dirasai secara berbeza oleh setiap individu, tetapi secara keseluruhan, berpuasa merupakan amalan yang memberikan kesan positif yang signifikan dalam kehidupan seseorang.
Diharap perkongsian ini dapat membantu anda jalani ibadah puasa dengan lebih yakin dan sempurna.
Semoga segala amal ibadah kita diterima Allah SWT.
RUJUKAN:
- https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/917-al-kafi-592
- https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1190-al-kafi-305
- https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1355-al-kafi-395
- https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/5876-irsyad-hukum-edisi-khas-ramadan-siri-ke-253-hukum-wanita-haid-berniat-puasa-sebelum-suci-2
- Facebook Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan